EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (tiga, kanan) menyerahkan peralatan untuk kegunaan penduduk kepada Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Baja Jalil Anak Long (tengah) di Kampung Orang Asli Bukit Raja, Dengkil pada 8 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Lebih 30 kampung Orang Asli selesai diwarta setakat Jun

SEPANG, 9 JUN: Sebanyak 33 kampung Orang Asli di negeri ini atau 45 peratus berjaya diwarta Kerajaan Selangor sehingga kini, kata EXCO hal ehwal Orang Asli.

Hee Loy Sian memaklumkan baki 41 kampung lagi sedang menunggu kelulusan berikutan pertindihan hak milik individu, rizab Melayu, hutan simpan, masjid dan jalan raya.

“Perkara ini agak sukar dan penyelesaiannya mengambil masa antara dua ke tiga tahun. Harap penduduk bersabar,” katanya selepas merasmikan Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Baja di sini semalam.

Belanjawan 2023 yang dibentang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperuntuk RM1 juta bagi memastikan isu pewartaan tanah kampung Orang Asli dilaksana bagi memelihara penempatan mereka.

Selangorkini sebelum ini melaporkan sebanyak 22 kampung terletak di Kuala Langat, Hulu Selangor (16), Sepang (15), Gombak dan Petaling (12) serta sembilan lagi di Hulu Langat.


Pengarang :