Penunggang p-panggilan GrabFood menyahkuman bekas penyimpan makanan sebagai langkah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengawal penularan Covid-19 di Kajang pada 23 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Garis panduan pekerja gig p-panggilan bakal dimuktamadkan

SHAH ALAM, 15 JUN: Garis Panduan Pekerja Gig (p-panggilan) 2023 sedang diteliti untuk dimuktamadkan kata Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Mustapha Sakmud berkata garis panduan itu bagi mengharmonikan hubungan syarikat penyedia platform dan pekerja gig.

“Ia juga sebagai satu langkah sementara yang bersesuaian mengawal selia aktiviti pekerjaan gig sebelum mewujudkan satu dasar atau akta berkaitan yang bersesuaian memandangkan pasaran pekerjaan ini pesat berkembang dan sentiasa berubah sifatnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Besar Rushdan Rusmi mengenai langkah yang sedang dan telah diambil kerajaan bagi memastikan ekonomi gig mampu memberikan kemampanan ekonomi dalam kehidupan masa kini.

Mustapha berkata sehingga 4 Jun lalu seramai 449,618 orang pekerja ekonomi gig berdaftar dan aktif mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 173,150 orang terdiri daripada pekerja p-panggilan dan e-pangilan,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diberi peranan untuk melaksanakan program bina kerjaya Pekerja Informal Gig Riders.

“Ia menyediakan elaun sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh tiga bulan kepada penunggang gig yang aktif menjalani latihan kemahiran untuk mendapat pekerjaan stabil dalam sektor formal dengan 325 permohonan diterima setakat ini,” katanya.


Pengarang :