Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Hidupkan budaya ngaji kitab sistematik, bersilibus

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Hasil kejayaan penganjuran Festival Turath Islami mendorong Kerajaan Selangor melebar program menelaah kitab Islam ke setiap pelusuk negeri.

Bermula dengan Shah Alam sebagai pusat pengajian kitab ilmuan Islam, ia diperluas ke peringkat daerah di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mahu pembacaan kitab warisan tokoh agama dengan lebih sistematik dan bersilibus.

Pengarah sekretariat festival berkata program pengajian karangan ulama muktabar dengan bertalaqqi sedang disusun. Ia membolehkan pemugaran kefahaman Islam mengakar dan meluas di akar umbi.

“Cadangan daripada Dato’ Menteri Besar, kita buat satu program pembacaan kitab lebih sistematik terutama sekali kita cuba mengajar dan memberi pendedahan dalam tiga aspek utama.

“Kita akan bincang lebih mendalam iaitu dari segi akidah, syariah dan tasawuf,” kata Ammar Gazali kepada Selangorkini pada 20 Jun.

Orang ramai mendengar syarahan Sama’ Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tanpa mengkhususkan karya agung tertentu, beliau akan berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pejabat mufti negeri bagi menentukan naskhah sesuai untuk pengajaran di masjid.

“Dalam tempoh dua atau tiga minggu saya cuba membentuk satu kertas kerja yang sesuai untuk kita bentangkan,” kata pegawai dasar di Pejabat Dato’ Menteri Besar itu.

Beliau mengakui menerima pelbagai maklum balas dan syor penambahbaikan. Ia termasuk pengajaran kitab karangan ulama hadis dan fiqh Imam an-Nawawi, saranan bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab.

Ammar juga menyuarakan keyakinan mampu menyediakan ramai agamawan dan graduan mahasiswa Timur Tengah yang mahir mengupas kitab-kitab yang mengandungi tiga bidang ilmu itu.

Perbincangan dengan semua pemegang taruh penting akan diadakan sebelum sebarang perubahan termasuk tema dan konsep bagi festival itu pada masa depan.

Ratusan hadirin mendengar pengajian secara membaca Tokoh Ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dalam perkembangan sama, Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni juga bakal menyambung pembacaan Kitab Ilmu – satu daripada 40 kitab dalam Ihya Ulumuddin antara 3 hingga 7 Julai.

Ammar memberitahu, empat slot pembacaan adikarya Abu Hamid al-Ghazali itu dilangsungkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, meski ulama pondok Pattani, Thailand itu dikekangi dengan jadual padat di Malaysia.

Sambungan syarahan itu rentetan daripada majlis ilmu sama di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar pada 1 Mei sempena prapelancaran festival berkenaan.

Satu lagi acara prapelancaran festival diadakan pada 18 Mei iaitu pembacaan dua kitab tauhid al-Tariq Ilallah dan al-Kharidah al-Bahiyyah oleh Prof Dr Ali Jum’ah di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Hurai Ihya

Festival Turath Islami Selangor diadakan antara 20 hingga 25 Mei bersempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin kepada bahasa Melayu.

Usaha penerbitan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), yang mendapat geran Kerajaan Negeri, dijangka memakan masa tiga tahun.

Festival dianjur Kerajaan Selangor bersama beberapa agensi negeri seperti Jais, PPAS dan IBDE.

Berlangsung seminggu, program mengetengahkan lapan acara utama merangkumi segmen bersama orang awam, pemimpin, ahli akademik, agamawan serta mahasiswa.

Muhammad Mahmud Al Falah Muhamad Al Khairuddin, 9, dan abangnya Muhamad Ali Al Fateh, 13, membaca buku terjemahan Imam Al-Ghazali terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ketika Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Acara sulung festival dimulai huraian naskhah agung al-Ghazali oleh Prof Dr Ali Jum’ah di Masjid Negeri pada 20 dan 21 Mei.

Tokoh setempat dan antarabangsa seperti Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, Dr Said Aqil Siradj, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dan Baba Ghazali Ahmad Al-Fathoni juga mengupas pemikiran Hujjatul Islam dalam Seminar Penghayatan Ihya Ulumuddin pada 22 Mei.

Hari yang sama, Prof Dr Ali Jum’ah bersama Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir memimpin acara Majlis Zikir Darul Ehsan.

Bekas Mufti Besar Mesir itu terus berkongsi ilmu dalam acara pada 23 Mei membicara sama’ sifat Nabi SAW dan ijazah hadis musalsal. Kemudian beliau menyampaikan amanat dalam Himpunan Ilmuwan Muda Timur Tengah pada 24 Mei di Masjid Negeri.

Daripada lapan acara, tiga acara berlangsung membabitkan jemputan khas iaitu jamuan mahabbah ulama-umara, munaqasyah ilmiah dan muzakarah ulama-umara.

Dalam festival itu, golongan agamawan, pelajar tahfiz dan pencinta ilmu berbondong-bondong menadah karangan al-Ghazali.

Kehadiran pengunjung luar biasa mencerminkan umat dahagakan ilmu dan pencerahan daripada ulama hebat.

Temasya menghimpunkan tokoh ilmuan Islam di bumi Selangor itu digagas selepas Amirudin mengadakan pertemuan dengan mahasiswa Universiti Al-Azhar, Mesir pada 2018.

Mereka mencadangkan kaedah talaqqi, iaitu pengajian agama secara berguru dan berkitab, seperti diamalkan di nusantara. Budaya pengajian berkenaan menjadi latar kepada kejayaan festival turath baru-baru ini.


Pengarang :