Usahawan produk kesihatan dan kecantikan Norliza Aizul Zulkifli menerima sijil penghargaan daripada Pengarah Eksekutif Hijrah Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor ketika Kembara Sukses Hijrah di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hijrah saran usahawan mohon i-Bisnes, tawar pinjaman hingga RM50,000

SHAH ALAM, 28 JUN: Usahawan yang berhasrat melebarkan perniagaan disaran memohon skim i-Bisnes bawah Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000.

Penolong pengurus kanan operasinya menjelaskan skim pinjaman yang dibuka sepanjang masa itu mudah, cepat selain tidak membebankan pemohon.

“Selain itu, skim ini juga tidak memerlukan penjamin dan sebarang cagaran untuk permohonan,” kata Muhammad Hafizi Jamaludin ketika dihubungi.

Sebelum ini, agensi berkenaan memaklumkan i-Bisnes antara skim pembiayaan paling mendapat sambutan dalam kalangan usahawan berbanding skim i-Lestari dan i-Agro berikutan kadar faedah ditawar rendah.

Selain itu, pembiayaan bawah RM30,000 hanya dikenakan faedah serendah empat peratus, manakala RM31,000 hingga RM50,000 lapan peratus.

Dalam pada itu, Muhammad Hafizi berkata pihaknya memfokuskan pengeluaran pembiayaan terhadap skim sedia ada tahun ini meliputi Niaga Darul Ehsan (NaDI), Zero to Hero, i-Bermusim termasuk i-Bisnes.

Beliau turut memaklumkan penangguhan sementara pembiayaan i-Lestari dan i-Agro selepas kajian semula keutamaan skim pinjaman.

Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim ketika Majlis Pelancaran Skim Baharu Hijrah Selangor di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 27 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Jelasnya kelulusan pinjaman skim i-Lestari dari RM51,000 hingga RM100,000 dikhuatiri mengurangkan bilangan pembiayaan yang dapat dikeluarkan kepada usahawan.

“Skim i-Agro pula mempunyai tempoh bertenang yang lama dari tiga hingga enam bulan. Semasa tempoh bertenang, Hijrah tidak dapat membuat pusingan pembiayaan untuk permohonan dana sedia ada,” katanya lagi.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntukkan RM130 juta bagi membolehkan Hijrah menambah baik skim serta membantu pembangunan usahawan.


Pengarang :