Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melakukan kerja turapan menggunakan kaedah ‘mill and pave’ di Jalan Tasik Puteri, Bandar Tasik Puteri, Rawang pada 24 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Infrasel teruskan projek turap jalan mega di Rawang, Subang Jaya, Petaling Jaya

SHAH ALAM, 28 JUN: Syarikat penyelenggara jalan negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) meneruskan kerja turapan jalan secara besar-besaran di sekitar Rawang, Subang Jaya dan Petaling Jaya mulai 20 Jun.

Agensi itu memaklumkan kerja membaik pulih jalan menggunakan kaedah ‘mill and pave’ (membuang lapisan turapan rosak dan mengganti dengan lapisan baharu) itu sebahagian daripada Projek Turapan Mega.

“Infrasel sedang melaksanakan kerja baik pulih jalan melalui kaedah ‘mill and pave’ di Jalan Tasik Puteri, Bandar Tasik Puteri, Rawang.

“Turut dilaksana kerja baik pulih menggunakan kaedah sama ialah di Jalan Persiaran Puchong Permai, Subang Jaya dan Jalan PJS 1/25, Petaling Jaya,” kata Infrasel menerusi Twitter.


Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan kerja turapan jalan menggunakan kaedah ‘mill and pave’ di Jalan Persiaran Puchong Permai, Subang Jaya pada 23 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM50 juta bagi kerja penurapan jalan secara besar-besaran di seluruh negeri ini bermula Mei lalu dalam meningkatkan kemudahan orang ramai.

Peruntukan tersebut sebagai tambahan kepada dana RM500 juta pada setiap tahun bagi menguruskan semua jalan negeri.

Projek Turapan Mega itu membabitkan sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer dan dijangka siap sepenuhnya hujung Julai melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (8).

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksana Infrasel, yang dibaiki dalam tempoh 24 jam berdasarkan aduan orang ramai di Twitter.


Pengarang :