Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menurap jalan rosak di Jalan Bagan Pasir, daerah Tanjong Karang dalam tempoh 24 jam selepas menerima aduan orang ramai di Twitter pada 1 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENSISELANGOR

Infrasel turap jalan di Tanjong Karang selepas 24 jam terima aduan

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 7 JUN: Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menurap laluan rosak di Jalan Bagan Pasir, Tanjong Karang dalam tempoh 24 selepas menerima aduan pada 1 Jun.

Syarikat penyelenggara jalan negeri itu memaklumkan aduan diterima menerusi Twitter @infrasel_kjp, dengan pengadu menggunakan tanda pagar diikuti nama jalan dan daerah.

Pemotongan rumput turut dibuat di Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor kelmarin, selain membersih dan mengecat semula papan tanda di jalan Taman Keruing Rasa, daerah sama pada 5 Mei.

“Teruskan membuat aduan dengan memuat naik hantaran di Twitter bersama tanda pagar #infrasel #namajalan #daerah berlakunya kerosakan jalan raya tersebut,” katanya di Twitter.

Bermula 1 Jun, Kerajaan Negeri melaksanakan projek turapan mega di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer dengan peruntukan RM50 juta, yang dijadual siap penghujung Julai.

Projek itu bagi memastikan jalan raya di seluruh negeri ini berada dalam keadaan baik, sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan kemalangan.

Sebelum ini, kerja membaiki jalan dilakukan Infrasel berdasarkan aduan orang ramai dengan lebih 39,000 kerja turapan dibuat antara 2021 hingga tahun lalu.

 


Pengarang :