Program Muzakarah Zakat Nusantara 2023 Edisi Khas di Hotel Concorde pada 20 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jabatan agama diseru sedia modul pendidikan zakat untuk kuliah agama

SHAH ALAM, 21 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyeru jabatan agama Islam di negara ini menyediakan modul pendidikan zakat untuk sesi kuliah agama di masjid dan surau.

Ketua Bahagian Syariah dan Dakwah LZS berkata sudah tiba masanya agensi zakat dan jabatan agama Islam bekerjasama untuk terus mendidik masyarakat.

“Kita minta, pastikan ada satu silibus zakat. Kita di LZS, alhamdulillah ada modul zakat yang kita sediakan untuk sekolah.

“Perlu ada satu slot untuk pendidikan zakat di masjid atau surau. Sebagai contoh, letak slot sekali setiap minggu pada kuliah subuh,” kata Salehuddin Abu Samah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Muzakarah Zakat Nusantara 2023 di Hotel Concorde di sini semalam.

Program julung kali dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu menghimpunkan kira-kira 150 perwakilan dari lima negara Asia Tenggara.

Salehuddin menambah, pendidikan zakat menerusi sesi kuliah di masjid dan surau perlu dibuat bagi memberi penerangan lebih jelas kepada warga emas khususnya.

Menurutnya ilmu zakat mencakupi pelbagai aspek dan ia wajar difahami semua pihak tanpa mengira umur dan latar belakang.

“Di kampung, ada mak ayah yang masih tiada media sosial. Jadi, kita perlu gunakan pendekatan lain untuk mendekati golongan ini,” katanya.


Pengarang :