Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas program Ibadah Korban Perdana di Kediaman Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 30 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jentera HARAPAN giat santuni rakyat, buat persiapan depani PRN

SHAH ALAM, 30 JUN: Gerak kerja jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dijangka Ogos depan rancak sejak sebelum Ramadan.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peringkat akar umbi bersama jentera Barisan Nasional (BN) banyak menyantuni dan mendekati rakyat ketika ini.

“Sekarang gerak kerja kita lebih kepada persiapan, pertemuan dengan rakyat dan mengumpulkan jentera yang kita telah kenal pasti, disamping bersedia untuk pilihan raya.

“Gerak kerja HARAPAN-BN semua berjalan baik, di bawah (akar umbi) saya rasa mereka telah berhubung, di peringkat pusat kita akan muktamadkan (tidak lama lagi),” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, beliau yang juga Dato’ Menteri Besar menyertai program Ibadah Korban Perdana di kediaman rasminya di sini yang turut disertai pelbagai agensi Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Amirudin menjangka proses pembahagian kerusi antara HARAPAN dan BN untuk mendepani PRN Selangor selesai dalam tempoh seminggu lagi.

“Ia akan diumumkan pusat. Saya rasa seminggu. Paling lama seminggu,” katanya.

Dewan Negeri secara rasminya dibubarkan pada 23 Jun untuk memberi laluan PRN diadakan setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Negeri lain yang turut terlibat ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.


Pengarang :