Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama orang ramai ketika Jelajah Arus Merah Kuning DUN Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Andalas, Klang pada 25 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jentera perpaduan HARAPAN, BN DUN Sungai Kandis dilancar

KLANG, 26 JUN: Jentera Perpaduan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bagi mendepani pilihan raya negeri (PRN) dilancarkan semalam.

Disempurnakan Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari di Tapak Rakan Muda Sri Andalas di sini, ia dihadiri lebih 1,000 penyokong dan jentera yang membawa slogan #arusmerahkuning sepanjang kempen PRN.

Pelancaran jentera itu sempena Jelajah #arusmerahkuning DUN Sungai Kandis yang turut menyaksikan Amirudin menyerahkan bendera HARAPAN dan BN kepada beberapa pimpinan sebagai simbolik pelancaran.

Sebelum pelancaran hadirin didengarkan dengan ucapan daripada beberapa pimpinan termasuk penyandang DUN Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam diakhiri dengan ucaptama oleh Amirudin.

Semalam, Amirudin melancarkan Jentera HARAPAN Selangor bagi mendepani PRN tidak lama lagi.

Pada 23 Jun Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan sekali gus membuka laluan kepada PRN untuk diadakan.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018, Mohd Zawawi meraih 15,427 undi dengan majoriti 5,842 undi menewaskan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.


Pengarang :