Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal Mazwan Johar ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Sungai Ramal di Sungai Tangkas, Kajang pada 12 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

JPS agih RM500,000 baik pulih tebing kunci air, siap dalam sebulan

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

SHAH ALAM, 16 JUN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Langat mengagihkan RM500,000 bagi membaik pulih runtuhan tebing kunci air secara berperingkat di Sungai Ayer Hitam, Bandar Baru Bangi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal berkata projek fasa pertama yang dilaksana ketika ini meliputi kambus tanah dan binaan penebat keluli di sekeliling kawasan bagi mengelak hakisan semula.

Dijangka siap dalam tempoh sebulan, Mazwan Johar memaklumkan kejadian yang berlaku sejak akhir tahun lalu berpunca daripada arus air bertekanan tinggi sehingga menyebabkan hakisan tebing.

“Trek joging juga akan dibaik pulih supaya aktiviti riadah dan pesiar kaki dapat digunakan semula,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook semalam.

Beliau berkata fasa dua pula meliputi pembaikan kunci air, yang dijangka siap akhir tahun ini setelah mendapat kebenaran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Kerja pembaikan sudah dimulakan dan mendapat kebenaran pihak PKNS untuk melapangkan tanah bagi memberi laluan kepada jentera berat dan peralatan dibawa masuk ke tapak,” katanya.


Pengarang :