Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah pada Jualan Ehsan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Masjid Saujana Utama, Kuala Selangor pada 22 Jun 2023. Foto NINA FARZUIN MD SHAROM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah di Saujana Utama meriah, penduduk mahu kuantiti barangan ditambah

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

KUALA SELANGOR, 22 JUN: Persatuan Penduduk Saujana Utama 2 berharap kuantiti barangan Jualan Ehsan Rahmah (JER) ditambah bagi menampung permintaan susulan sambutan yang amat menggalakkan di kawasan berkenaan.

Pengerusinya Sajali Jalipan berkata penduduk kawasan berkenaan padat melibatkan 800 rumah teres selain dua apartmen dan tidak termasuk pengunjung dari luar yang turut serta mengunjungi jualan murah.

“Ini merupakan penganjuran kali ke tiga dan setiap kali ia berlangsung, semua barangan habis ldan sebab itu kalau boleh kita minta kuantiti barang terutama telur dan ayam ditambah selepas ini.

“Saya sangat berharap Kerajaan Negeri akan teruskan program seperti ini kerana ia sangat membantu mereka yang memerlukan terutama golongan B40,” katanya.

Terdahulu beliau turun meninjau JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Masjid Saujana Utama, di sini.

Jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dihadiri lebih 300 pengunjung sejak 8,30 pagi bagi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah berbanding pasaran.

Sementara itu, Penyelaras Program Saujana Utama DUN Paya Paras, Hary Abu berkata pengunjung program JER di kawasan itu tidak terhad kepada penduduk setempat sebaliknya terbuka kepada semua.

“Kalau kita lihat hari ini, ada juga pengunjung dari luar yang memang menantikan jualan murah ini, lagi pun kawasan ini sangat terbuka dan memudahkan mereka untuk datang.

“Insya-Allah kita akan usahakan untuk bawa program ini lagi selepas ini memandangkan sambutannya agak memberangsangkan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah pada Jualan Ehsan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Masjid Saujana Utama, Kuala Selangor pada 22 Jun 2023. Foto NINA FARZUIN MD SHAROM/SELANGORKINI

Jualan murah berkenaan adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun 2023 dan diteruskan hingga Disember depan, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).

Kerajaan Negeri hari ini turut mengumumkan, Jualan Mega Aidiladha akan diadakan di enam lokasi iaitu di Parlimen Gombak, Sepang, Pandan, Tanjung Karang, Hulu Selangor, Sabak Bernam, dengan tambahan barangan Ehsan, pada 24 dan 25 Jun ini.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :