Orang ramai membeli barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Surau Taman Sri Angsana Hilir Ampang Jaya pada 12 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah jimat belanja dapur, penduduk harap diteruskan

Oleh Nas Norziela Nasbah

PANDAN INDAH, 12 JUN: Sejak tahun lalu, Salmah Dahlan, 71, menjadikan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) lokasi wajib dikunjungi untuk mendapatkan barangan asas pada harga murah.

Malah warga emas yang menetap di Cheras Baru itu sentiasa bertanyakan rakan, anak-anak serta saudara mara jadual JER terutama yang berdekatan dengan rumahnya.


Salmah Dahlan, 71, membeli barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Surau Taman Sri Angsana Hilir Ampang Jaya pada 12 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Saya banyak berjimat apabila berbelanja di program ini, jika ada penganjurannya saya pasti pergi terutama apabila kawan-kawan ajak.

“Kadang-kadang anak minta tolong beli barang asas seperti ayam dan beras kerana mereka bekerja,” katanya ketika ditemui di JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, di sini, hari ini.

Pengunjung lain, Zulkapli Mohd Yusuf, 64, berkata dia tidak lepaskan peluang setiap kali program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu diadakan terutama di DUN berkenaan.

Zulkapli Mohd Yusuf 64, membeli barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Surau Taman Sri Angsana Hilir Ampang Jaya pada 12 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Bapa tiga anak dan empat cucu itu berkata dia dan isteri bergilir-gilir membeli barang asas seperti ayam, telur, minyak masak dan beras kerana ia dijual murah apatah lagi dirinya tiada pendapatan tetap.

“Setiap kali JER dianjurkan di kawasan berdekatan atau jauh sedikit saya pergi. Harga yang dijual sangat murah dan meringankan beban golongan berpendapatan rendah seperti kami.

“Harapan saya jualan ini diteruskan sampai bila-bila kerana ia membantu penduduk mendapat barangan asas untuk meneruskan kehidupan masing-masing. Mungkin selepas ini dapat diperluaskan dengan jualan sayur-sayuran atau bahan mentah lain,” katanya.

Orang ramai membeli barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Surau Taman Sri Angsana Hilir Ampang Jaya pada 12 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi jualan murah di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :