Orang ramai membeli barangan keperluan asas sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 1 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah manfaat semua kaum, penduduk sokong usaha Selangor

Oleh Shamz Johan

GOMBAK, 2 JUN: Penganjuran Jelajah Ehsan Rakyat (JER) oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terbukti mampu memberi manfaat kepada semua kaum.

Suri rumah, R Ranjini, 35, berkata beliau menyokong usaha Kerajaan Negeri itu yang membantu keluarga kurang mampu untuk membeli barangan keperluan asas pada harga murah.

R Ranjini

“Kita lihat pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat datang ke program JER kerana ia sangat membantu keluarga yang memerlukan. Tidak kira bangsa apa pun, ada ramai (keluarga) yang menghadapi kekangan kewangan. Justeru, jualan murah seperti ini dapat bantu mereka berjimat.

“Saya juga berpuas hati dengan program ini kerana kini kami ada pilihan untuk beli barang keperluan seperti ayam, telur dengan harga lebih murah,” katanya.

Beliau ditemui pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves di sini semalam.

Umi Fatimah Muhammad

Sementara itu, pekerja pembersihan, Umi Fatimah Muhammad, 60, mencadangkan agar kedai sementara dibuka bagi penganjuran JER secara tetap di satu-satu kawasan untuk memudahkan penduduk.

“Ramai keluarga B40 bekerja syif dan termasuk pada hujung minggu, kita harap ada cadangan supaya masa penganjuran dapat dilonggarkan atau lebih fleksibel,” katanya yang terpaksa meninggalkan tugas untuk membeli barangan PKPS.

Manakala, suri rumah, Hasnah Sulaiman, 63, teruja pertama kali berkunjung ke jualan murah itu.

Hasnah Sulaiman

“Ramai cucu pulang tinggal bersama sempena cuti sekolah, jadi, saya pertama kali datang ikut jiran teruja melihat pelbagai barang keperluan dijual begitu murah. Memang saya sokong usaha begini dan harap orang ramai juga bersama sokong inisiatif kerajaan negeri,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Orang ramai boleh melayari pautan http://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :