Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur yang dijual murah sempena Program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha di Dewan Serbaguna, Kampung Pandan Dalam, Ampang Jaya pada 24 Jun 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN / SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah: Pengunjung syukur dapat berjimat beli barang keperluan sambut Aidiladha

Oleh AMIRUL FAZLI

AMPANG JAYA, 24 JUN: Pengunjung Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha di Dewan Serbaguna Jalan H, Kampung Pandan Dalam di sini sangat bersyukur kerana barangan yang ditawarkan berkualiti pada harga murah.

Pesara tentera Kasmani Pardi, 71, berkata jualan murah anjuran Kerajaan Negeri membantu golongan sepertinya berjimat dalam membuat persiapan bagi menyambut perayaan berkenaan.

Kasmani Pardi, 71

“Sebagai pesara yang hanya bergantung kepada duit pencen memang menghargai usaha Kerajaan Negeri kerana membantu saya mendapatkan barang keperluan pada harga yang berpatutan dan menjimatkan,” katanya yang turut berkesempatan mengunjungi enam kali ke Jualan Ehsan Rahmah (JER) sebelum ini.

Pandangan sama turut dikongsi suri rumah Faridah Antumi, 45, dan beliau tidak akan melepaskan peluang untuk mengunjungi jualan seperti bagi mendapatkan barangan dapur yang berkualiti pada harga murah.

Faridah Antumi, 45

“Saya sering kali hadir ke JER dan kali ini pastinya tidak akan melepaskan peluang berbelanja di jualan mega kerana ia membantu saya mendapatkan barangan dengan harga begitu murah jika hendak dibandingkan di pasaran luar,” katanya.

Sementara itu, pejawat awam Ropidah Abdul Kolid, 43, turut bersetuju program jualan ini dapat membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga mereka bagi mendapatkan barangan asas sehingga 50 peratus.

Ropidah Abdul Kolid, 43

“Kalau kita beli barang seperti ini di luar, RM150 mesti habis tetapi di sini saya dapat banyak barang dengan kualiti yang tinggi contohnya seperti telur dan beras,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Chin Cheong Ye, 30, pula berpandangan jualan berkenaan wajar diteruskan dengan beberapa penambahbaikan supaya lebih ramai rakyat khususnya yang kurang berkemampuan menerima manfaat.

Chin Cheong Ye, 30

” Saya berharap Kerajaan Negeri akan meneruskan program baik seperti ini agar lebih penduduk yang terkesan dengan kos sara hidup dapat menikmati manfaat jualan murah ini,” katanya.

Mereka antara 1,000 pengunjung yang hadir sejak 8.00 pagi bagi mendapatkan barangan murah untuk persiapan Aidiladha meskipun jualan bermula pada 10.00 pagi.

Program Jualan Mega Rahmah Aidiladha di Parlimen Pandan mencatat nilai jualan sebanyak RM60,000 untuk hari pertama.

Jualan murah berkenaan menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur yang dijual murah sempena Program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha di Dewan Serbaguna, Kampung Pandan Dalam, Ampang Jaya pada 24 Jun 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY BIN MOHD DIN / SELANGORKINI

 


Pengarang :