Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah pada Jualan Ehsan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Masjid Saujana Utama, Kuala Selangor pada 22 Jun 2023. Foto NINA FARZUIN MD SHAROM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah rehat lima hari sempena Aidiladha, kembali operasi 3 Julai

SHAH ALAM, 27 JUN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menjelajah ke sembilan lokasi di serata daerah berehat selama lima hari mulai esok sempena Aidiladha.

Bagaimanapun, program jualan barangan asas murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kembali memulakan operasi mulai 3 Julai depan.

“Team JER akan berehat seketika sempena Hari Raya Aidiladha. Insya-Allah, jualan akan kembali menemui anda pada 3 Julai ini,” menurut agensi itu di Facebook hari ini.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut sehingga 1 September susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas dan diperluas ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari tahun ini.

JER kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

PKPS juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri baru-baru ini.


Pengarang :