Penduduk membeli barangan keperluan dapur Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Hulu Selangor di Dataran Niaga Serendah, Hulu Selangor pada 25 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah sempena Aidiladha bukti Selangor cakna nasib rakyat

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

HULU SELANGOR, 25 JUN: Inisiatif Kerajaan Negeri menganjur Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha sangat membantu penduduk mendapatkan keperluan perayaan berkenaan, kata penyelaras Parlimen Hulu Selangor.

Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata jualan yang menawarkan lebih banyak barangan asas itu turut menampung perbelanjaan penduduk yang kini berdepan cabaran kos sara hidup tinggi susulan situasi ekonomi semasa.

Penyelaras Parlimen Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan pada Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Hulu Selangor di Dataran Niaga Serendah, Hulu Selangor pada 25 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Jualan Ehsan Rahmah (JER) sudah banyak kali diadakan tetapi pertama kali di peringkat Parlimen selepas penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali mohon pihak kami untuk adakan Jualan Mega Ehsan Rahmah sempena musim perayaan.

“Sejak JER dianjurkan, sekitar lebih 150,000 penduduk Parlimen Hulu Selangor membabitkan tiga DUN iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali dapat manfaat,” katanya.

Terdahulu, beliau meninjau jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) peringkat Parlimen Hulu Selangor di Dataran Niaga Serendah, di sini hari ini.

“Saya dapati ratusan penduduk sudah beratur bagi mendapatkan nombor giliran sejak jam 8 pagi walaupun jualan bermula jam 10 pagi.

“Sebagai seorang doktor, saya sarankan khemah dibuka lebih banyak untuk penganjuran akan datang bagi memastikan penduduk lebih selesa ketika menunggu giliran selain selain mengelak risiko strok haba akibat cuaca panas ketika ini,” katanya.

Dr Sathia Prakash turut menggalakkan penduduk menjana pendapatan dengan membuka gerai selain barangan asas bersama pihak penganjur jualan murah berkenaan.

Penduduk membeli barangan keperluan dapur pada Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Hulu Selangor di Dataran Niaga Serendah, Hulu Selangor pada 25 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Jualan murah sempena perayaan oleh PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor menawarkan lebih banyak barangan asas termasuk 2,000 ekor ayam dan 900 papan telur di setiap lokasi.

Harga yang ditawarkan bagi ayam standard serendah RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

PKPS turut menawarkan barangan kering jenama Ehsan, minyak peket satu kg serta ikan, sotong dan kerang segar.


Pengarang :