Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad (tengah) memotong riben sebagai simbolik pelancaran penjenamaan semula Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) ketika Program Karnival Ampang Mampan di Lorong Ampang Mampan pada 23 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Karnival jualan Ampang Mampan tarik lebih 1,000 pengunjung

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

AMPANG JAYA, 23 JUN: Lebih 1,000 pengunjung memeriahkan Karnival Ampang Mampan (SDGs) yang menyedia pelbagai aktiviti menarik serta jualan di sini hari ini.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata program bertujuan menghidupkan lorong belakang Ampang Point yang dirasmikan pada 2022.

“Karnival yang berlangsung bermula 5 petang hingga 12 malam bertujuan menjadi lokasi itu tarikan masyarakat khususnya warga Ampang Jaya.

“Kewujudan lorong SDGs sepanjang 300 meter yang terdiri daripada Zon A dan Zon B kini telah menjadi tumpuan peniaga seterusnya menarik lebih ramai pengunjung,” kata Dr Ani Ahmad pada majlis pelancaran penjenamaan semula Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad (tengah) bersama pengasas Aku Design, Afiq Afify Anuar ketika pelancaran penjenamaan semula Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) ketika Program Karnival Ampang Mampan di Lorong Ampang Mampan pada 23 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Karnival yang bermula jam 5 petang menyediakan pameran kitar semula, minyak masak terpakai, e-waste dan kaunter cukai taksiran selain pertandingan nyanyian yang menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang.

Empat mural baharu karya tiga pelukis daripada Aku Design berkonsep matlamat pembangunan mampan turut diperkenalkan di Zon A.

Lorong SDGs menjadi platform 60 peniaga menjana pendapatan dengan menjual pelbagai jenis barangan seperti kasut, tilam, pakaian, makanan dan minuman serta perkhidmatan urutan.


Pengarang :