EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman menyantuni pengunjung yang hadir ke Selangor Mega Job Fair 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 17 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Karnival kerjaya mega usaha negeri kekalkan kadar pengangguran bawah empat peratus

SHAH ALAM, 17 JUN: Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 membuka 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat bagi memastikan kadar pengangguran bawah paras empat peratus.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata karnival ini memberi peluang pekerjaan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), universiti dan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Mengikut statistik Jabatan Perangkaan, saya juga agak terkejut kadar pengangguran 2.6 peratus pada suku pertama tahun 2023 berbanding 2.9 peratus pada tahun 2022.

“Kesan rendahnya kadar pengangguran melalui program yang negeri adakan seperti hari ini. Melalui program ini, kadar pengangguran kekal berada di bawah paras 4 peratus.

“Kalau saya congak, kadar pengganguran 2.6 peratus setakat ini menjadikan jumlah 60,000 hingga 70,000 pengangguran. Jadi program ini strategi negeri kerana sekurang-kurangnya pasti 2,000 pekerjaan dapat dicapai yang akan bantu kurangkan pengangguran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Khairuddin menambah penganjuran program kali ini melibatkan penyediaan pekerjaan pelbagai sektor lebih 100 syarikat.

“Antara sektor terlibat swasta, badan beruniform, agensi kerajaan atau anak syarikat kerajaan negeri dan sektor F&B (makanan dan minuman).

“Peluang pekerjaan turut disediakan buat orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Karnival tersebut yang pertama kali diadakan pada Jun tahun lalu membantu seramai 1,996 individu mendapat pekerjaan menerusi penyertaan lebih 100 syarikat pelbagai sektor.

Individu yang berminat untuk menyertai program tersebut boleh mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang www.selangorjobportal.com.my


Pengarang :