Lori KDEBWM yang digunakan untuk mengutip sampah domestik di seluruh negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM selesai 36,800 aduan sampah menerusi i-Clean Selangor tahun lalu

SHAH ALAM, 22 JUN: Aplikasi aduan pembuangan sampah secara dalam talian yang dibangunkan KDEB Waste Management (KDEBWM) kini merekodkan kira-kira 100,000 pengguna aktif sejak pengoperasiannya.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporatnya berkata i-Clean Selangor berjaya mencatat peningkatan penyelesaian aduan dengan lebih 36,800 kes pada 2022 berbanding 30,949 kes pada 2021.

Jelas Mahfuzah Muhammad Tarmidi, statistik terkini setakat 30 Mei tahun ini pula menunjukkan KDEBWM menyelesaikan 14,718 aduan berkaitan kutipan sisa pepejal.

“Penyelesaian kes membabitkan skop perkhidmatan kutipan domestik dan pembersihan awam di 12 kawasan pentadbiran di Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah setiap aduan yang diterima akan disalurkan kepada pegawai Pusat Aduan Setempat sebelum dimajukan kepada ketua operasi cawangan dan penyelia tapak untuk diambil tindakan.

I-Clean Selangor memudahkan orang ramai melaporkan aduan kutipan sisa pepejal dan mendapatkan perkhidmatan secara dalam talian yang beroperasi sejak 2016.

Pada 18 Nov 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aplikasi itu memudahkan penduduk mengemukakan aduan pembersihan di kawasan mereka selain memohon perkhidmatan pembuangan sampah pukal.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi itu di Google Play dan App Store selain menghubungi khidmat pelanggan di talian 1-800-88-2824/019-375 9592 atau WhatsApp (019-2742824) supaya aduan diurus dengan lebih cepat dan tepat.


Pengarang :