Oleh Fitri Hazim Hazam
SHAH ALAM, 6 JUN: Peruntukan RM21 juta disalurkan untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Datuk Bandarnya berkata RM15 juta diperuntukkan untuk kerja naik taraf jalan membabitkan 1,600 kilometer di kawasan sekitar.
“Selain itu, peruntukan RM5 juta disediakan untuk mengganti kabel elektrik lampu jalan sementara RM1 juta untuk pembersihan longkang.

“Semua jumlah peruntukan RM21 juta ini disalurkan Kerajaan Negeri melalui Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan kerja ini akan dilaksanakan kontraktor yang menerima surat tawaran tender hari ini,” kata Dr Nor Fuad Abdul Hamid.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tender dan sesi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Wisma MBSA di sini hari ini.
Pada masa sama, Dr Nor Fuad memaklumkan 39 kontraktor diberi surat tawaran untuk melaksanakan kerja naik taraf berkenaan.
“Nilai kontrak yang MBSA anugerahkan adalah 39 kerja dan ia meliputi sebut harga iaitu sembilan projek manakala tender 30 projek.
“Sebut harga bernilai RM2 juta dan tender berjumlah RM19 juta dengan jumlah keseluruhan RM21 juta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata 227 iklan tawaran kerja dikeluarkan pihaknya dan 15,453 dokumen tender diterima dari Januari hingga Jun ini.