Kakitangan KDEB Waste Management (KDEBWM) melakukan kerja pembersihan longkang ketika operasi peruntuhan struktur atas longkang bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Jalan USJ 1/19, Subang Jaya pada 7 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kerja pembersihan KDEBWM mudah selepas binaan haram diroboh

SUBANG JAYA, 7 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) memaklumkan kerja pembersihan longkang di Jalan USJ 1/19 Dan USJ 1/20, Taman Subang Permai lebih mudah selepas perobohan binaan haram dilaksanakan.

Ketua Operasi Cawangan Subang Jaya Mohd Fauzan Hushim berkata pembersihan yang dijalankan dua kali sebulan sebelum ini agak terhad selain menyebabkan longkang kotor dan tersumbat.

“Sebelum ini kerja pembersihan sudah pun dibuat beberapa kali tetapi ia hanya penyelesaian jangka masa pendek.

Ketua Operasi Cawangan Subang Jaya Mohd Fauzan Hushim

“Untuk penyelesaian jangka masa panjang KDEBWM bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melaksanakan operasi bersepadu dengan memecahkan halangan dan mencuci sisa kotoran terkumpul yang tidak dapat dibersihkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika operasi perobohan struktur binaan haram atas longkang di Jalan USJ 1/19 Dan USJ 1/20, Taman Subang Permai di sini hari ini.

Mohd Fauzan berkata operasi itu disusuli pembersihan longkang menggunakan peralatan jet air bertekanan tinggi (pressure water jetter) dan pembersih besen tangkap (catch basin cleaner).

“Kita menyeru pengusaha restoran terutamanya memikirkan alternatif menapis sisa makanan dan jangan biarkan ia terus masuk ke dalam longkang yang menjadi punca tersumbat atau banjir kilat.

“Pihak KDEBWM hanya membersihkan sistem saliran di kawasan komersial dua kali sebulan, kami seru semua mengambil sikap bertanggungjawab dan memudahkan kerja semua pihak,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 30 anggota KDEBWM dan 60 kakitangan MBSJ pelbagai jabatan terlibat dalam kerja perobohan struktur haram berkenaan.


Pengarang :