Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis Amanat Khas Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kesaksamaan, berilmu antara lima paksi penjawat awam jadikan Selangor negeri maju

SHAH ALAM, 12 JUN: Kesaksamaan, berbudaya dan berilmu antara lima ciri asas yang perlu menjadi paksi penjawat awam Selangor dalam melaksanakan tugas, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ciri itu merupakan tunjang untuk menjadikan Selangor sebagai negeri maju membangun dan bermaruah dengan nilai ehsan.

Katanya, ciri lain termasuklah persaudaraan manusiawi, kewibawaan dan kecekapan serta musyawarah atau masyarakat demokratik.

“Nilai-nilai ini harus dilaksanakan dan menjadi pedoman kita di saat kita berdepan dengan krisis politik yang tidak ada kesudahan menerima gelombang perkauman yang menyakitkan dan kadang kala parah.

“Semua nilai ini harus ada dalam pentadbiran kerajaan Negeri sehingga akar umbi seperti Ketua Kampung dan pemimpin kita yang telah dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Amanat Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah yang dihadiri lebih 1,000 penjawat awam Selangor di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berswafoto bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penjawat awam pada majlis Amanat Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin turut menyeru penjawat awam Selangor supaya sentiasa berani mempertahankan hak kebenaran dengan penuh keyakinan.

“Saya percaya unsur inilah yang terkandung dalam falsafah madani yang harus dihadam oleh kita bersama-sama dan saya bersyukur dengan perjawatan awam di Selangor yang sudah dan selalu saya ingatkan supaya beritahu kebenaran.

“Beritahu yang benar kepada kita supaya kita dapat tangani setiap perkara dan masalah itu bersama-sama tanpa cuba untuk menutup kelemahan atau mengelabui kesilapan semata-mata menjaga hati,” katanya.

Selain itu, katanya beliau berharap semua projek pembangunan negeri dilaksanakan bertanggungjawab dan berintegriti.

“Dengan perancangan yang kita bawa, (contohnya) pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) ini merupakan strategi pembangunan wilayah kita untuk pembangunan ekonomi dalam negeri ini,” katanya.

Sebahagian daripada penjawat awam yang hadir pada majlis Amanat Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :