Masdi Md Isa, bapa penuntut Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (Instar), Pangkalan Udara Sendayan Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi menunjukkan gambar kenangan bersama Allahyarham ketika ditemui di kediamannya di Kampung Rawa Hulu, Lenggeng pada 26 Jun 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Kiriman video kenangan terakhir sebelum terkorban ketika latihan menembak

SEREMBAN, 26 JUN: Bapa kepada penuntut Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (Instar), Pangkalan Udara Sendayan, Masdi Md Isa, 57, tidak menyangka video kiriman anaknya yang diterima tiga hari lalu menjadi kenangan terakhir buat mereka sekeluarga.

Anaknya, Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, merupakan seorang daripada dua mangsa yang terkorban dalam insiden kemalangan ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas tengah hari semalam.

“Anak ada hantar video wajah dia tiga hari sebelum kejadian, senyum tapi saya tengok wajah dia nampak sayu, dia selalu hantar video pada adik-beradik, mereka rapat, tapi kali ini lain, nampak sayu, saya perasan itu tapi tak ada fikir bukan-bukan.

“Tapi inilah ketentuan-Nya, saya terima dan pasrah. Saya bangga dengannya walaupun terkorban semasa latihan, itu bukan kesalahan, itu takdir, saya terima hakikat itu dan reda apa yang berlaku ke atasnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rawa Ulu Batu 1, Lenggeng di sini hari ini.

Masdi berkata tiada apa-apa perubahan ditunjukkan Mohd Iqmal pada kali terakhir keluarga bertemu ketika arwah pulang bercuti hujung minggu lalu malah sempat memberitahu tidak akan pulang minggu ini kerana menjalani latihan.

“Saya jumpa dia dekat pintu pagar rumah, saya peluk macam biasa, saya dengan anak-anak memang macam kawan-kawan, dia tak ada tunjuk apa-apa, okey sahaja, suka senyum seperti biasa,” katanya.

Selain Mohd Iqmal yang disahkan maut di tempat kejadian pada jam 12.10 tengah hari itu, jurulatih Koperal Udara Syuib Bidin, 33, turut meninggal dunia pada 5.45 petang ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di Hospital Segamat, Johor.

Seorang lagi jurulatih Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan dan pemantauan rapi di hospital berkenaan.

Bercerita mengenai keperibadian Allahyarham yang juga anak ketiga daripada enam beradik itu, Masdi berkata Mohd Iqmal merupakan seorang yang tidak mudah berputus asa, selain ceria dan baik dengan keluarga.

“Dia memang tak ada cita-cita nak jadi anggota waktu kecil, tapi sebelum ini dia pernah mohon untuk jadi polis tapi tak lulus, kemudian dia cuba lagi sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan berjaya, sepanjang dua tahun dia kerja, memang dia akui seronok,” katanya.

Dalam pada itu, Masdi turut berterima kasih kepada TUDM yang membantu urusan anaknya dari awal selain meminta rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan anaknya.

“Dia memang wira bagi saya, bukan pergi suka-suka, dia pejuang dan diamanahkan supaya buat benda itu dan laksanakan dengan baik, sebagai ayah dia terbaik,” katanya.

Jenazah Allahyarham Mohd Iqmal dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rawa Hulu mengikut istiadat ketenteraan selepas Asar.

– BERNAMA


Pengarang :