Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kompleks sukan mula dibina Oktober, dijadual siap 2026

SHAH ALAM, 10 JUN: Projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) membabitkan kawasan seluas 76.08 hektar akan bermula pada Oktober hadapan.

Dato’ Menteri Besar menjelaskan projek yang sepatutnya bermula bulan ini terpaksa ditunda susulan Kerajaan Negeri mahu meneruskan perbincangan bagi mendapatkan kos harga terbaik.

“Dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang lepas, kita sudah putuskan. Kita akan cuba lihat kerja-kerja dimulakan pada Oktober.

“Kita terpaksa ambil masa. Sepatutnya (dimulakan) bulan 6, tapi kita mahu bincang untuk dapat harga yang lebih baik dari syarikat. Bergantung kepada kualiti binaan dan sebagainya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) sempena Festival Belia Selangor di Dataran Karnival Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Amirudin menambah, ketika ini Kerajaan Negeri sedang melaksanakan proses penghantaran Kebenaran Merancang bagi pembangunan semula kompleks sukan tersebut.

Menurutnya projek bersifat perkongsian awam-swasta itu tetap dijangka siap pada 2026 namun akan mengalami sedikit kelewatan berbanding tarikh asal yang ditetapkan sebelum ini.

“Ia akan siap 2026 tapi mungkin lewat sedikit iaitu pada pertengahan atau pada suku ketiga tahun tersebut.

“Manakala bagi kerja perobohan Stadium Shah Alam, ia dijangka dibuat pada September atau Oktober. Ia bukan satu proses mudah,” katanya.

Pembangunan semula KSSA dibuat berikutan kos baik pulih dianggar menelan belanja RM787 juta. Sebanyak RM56 juta digunakan bagi menyelenggara dan membaiki kerosakan antara 2013 hingga 2022.


Pengarang :