Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas pada harga murah dalam program Jualan Rahmah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Foto Facebook KPDN Perlis
AGENDANASIONAL

KPDN lancar Jualan Rahmah Mobil di seluruh negara sempena Aidiladha

BACHOK, 10 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) buat julung kalinya melancarkan program Jualan Rahmah Mobil iaitu jualan secara bergerak sempena Hari Raya Aidiladha hujung bulan ini.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata program itu akan dilaksanakan mulai 16 hingga 28 Jun ini dan melibatkan 640 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

“Melalui kaedah ini, KPDN akan melantik pembekal dan membuat jualan secara mobil di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan pasar raya selain jauh untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

“Kaedah ini tidak akan membebankan pengguna kerana barangan datang terus kepada mereka dengan harga secara subsidi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu di Tapak Ekspo Pantai Irama di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini terdapat dua kaedah jualan iaitu di dalam premis yang sesuai seperti pasar raya serta ‘hypermarket’; dan di lapangan iaitu KPDN bekerjasama dengan pemimpin tempatan dan pemain industri mengadakan jualan di kawasan Parlimen dan DUN.

Fuziah berkata program itu juga akan diadakan dua kali sebulan dengan objektif utama menyediakan barangan keperluan harian kepada masyarakat setempat pada harga mampu milik.

“Inisiatif ini memberi peluang kepada pengguna mendapatkan keperluan asas harian sehingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat, sekali gus meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau turut melancarkan sistem Aduan Suri Peringkat Negeri Kelantan dan memaklumkan KPDN menyediakan sembilan saluran aduan bagi meningkatkan lagi keberkesanan dan memudahkan pengguna.

Katanya, kementerian pada tahun ini mengambil langkah melancarkan semula saluran aduan kepenggunaan sedia ada dengan menambah baik sistem agar lebih mesra pengguna.

“KPDN akan menggiatkan promosi supaya aduan boleh dilaksanakan dengan mudah oleh suri rumah membuat pembelian barangan secara runcit,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :