Antara lori yang dirampas KPDN Selangor kerana dipercayai terlibat aktiviti menyeleweng 13,802 liter minyak diesel dalam sebuah operasi hendap di sebuah stesen minyak di Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto KPDN Selangor
AGENDAJENAYAH

KPDN Selangor rampas tiga lori seleweng 13,802 liter diesel, lima lelaki ditahan

SHAH ALAM, 21 JUN: Sebanyak 13,802 liter diesel bersubsidi yang dipercayai diseleweng dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dalam sebuah operasi hendap di sebuah stesen minyak Seksyen 22, di sini pada 19 Jun.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya Mohd Khairi Jamaludin berkata dalam operasi 10.30 malam itu pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menghentikan aktiviti menyeleweng diesel membabitkan tiga lori.

“Modus operandi mereka membuat pengisian minyak secara berulang antara enam hingga sepuluh kali sehari untuk dihantar ke stor penyimpanan kawasan sekitar stesen minyak itu.

“Tangkapan dibuat kepada empat orang lelaki warganegara pemandu lori dan seorang warganegara asing yang merupakan pekerja stesen minyak,” katanya pada sidang media di pejabat KPDN Selangor, di sini hari ini.

Menurut Mohd Khairi pihaknya turut menyita dua buah lori yang diubah suai dengan pemasangan tangki menyimpan bahan api berkapasiti 10,000 liter dan 20,000 liter.

Beliau menambah sebuah lori yang dipasang empat unit tong simpanan bahan api turut disita

“Nilai sitaan keseluruhan kes RM250,000 melibatkan 13,802 liter (RM29,674), wang tunai RM20,000 dan tiga buah lori,” katanya.

Mohd Khairi menambah kes disiasat mengikut Peraturan 21 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual diesel kepada kenderaan melebihi 250 liter.

Katanya, jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

 


Pengarang :