Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (kanan) melihat perlawanan permainan siber di antara pelajar sewaktu hadir pada Program Digital@KKD di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang, Kelantan Pada 24 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 380,000 tablet diagih seluruh negara, bantu pembelajaran pelajar B40

MACHANG, 24 JUN:- Sebanyak 381,251 tablet telah diagihkan ke seluruh negara menerusi inisiatif PerantiSiswa yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Digital sejak September 2022.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kemudahan itu bertujuan untuk membantu dan memastikan kelancaran proses pembelajaran mahasiswa dan pelajar daripada keluarga B40.

“Di Kelantan, seramai 29,609 penerima inisiatif PerantiSiswa telah dikenal pasti dan hingga kini 24,525 tablet telah diedarkan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ‘Jelajah Saya Digital 2023 di Kelantan’ dekat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kampus Machang, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Hadir sama Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata ‘Kempen Saya Digital’ turut diadakan bagi mempersiapkan rakyat dengan kemahiran digital untuk memperkasakan ekonomi digital terutamanya kepada golongan B40, warga emas, komuniti rentan sosioekonomi, pelajar dan usahawan.

“Program eUsahawan ‘Saya Digital Bisnes’ yang merupakan satu daripada teras Kempen Saya Digital telah berjaya melatih seramai 27,595 usahawan di Kelantan dengan jumlah jualan terkumpul melebihi RM1.1 bilion.

“Selain itu, portal MyDIGITAL.KKD merupakan sebuah pusat sehenti yang dibangunkan oleh KKD dalam usaha pendigitalan pelbagai perkhidmatan kerajaan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata program yang dihadiri hampir 500 mahasiswa dan usahawan tempatan itu merupakan program turun padang untuk meningkatkan literasi kemahiran digital rakyat agar seiring dengan visi menuju Dekad Keemasan Digital sekali gus menjadikan Malaysia sebagai Harimau Digital Asia.

— BERNAMA


Pengarang :