Aksi peserta mempamerkan kemahiran mengawal bot kawalan jauh pada Kejohanan Bot Kuasa Kawalan Jauh Antarabangsa Petaling Jaya 2023 kali ke-15 di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya pada 15 hingga 18 Jun 2023. Foto Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

Lebih 675 bot berentap dalam Kejohanan Bot Kuasa Kawalan Jauh Antarabangsa PJ

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 21 JUN: Lebih 675 bot kuasa kawalan jauh berentap pada Kejohanan Bot Kuasa Kawalan Jauh Antarabangsa Petaling Jaya 2023 di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya pada 15 hingga 18 Jun lalu.

Unit komunikasi korporat  Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata kejohanan empat hari menarik lebih 167 peserta dari dalam dan luar negara.

“Selain daripada peserta tempatan, kita turut mendapat penyertaan dari luar negara seperti Brunei, Thailand, Vietnam, Indonesia, UAE dan Kuwait.

“Kejohanan ini bertujuan mempromosi dan memartabatkan sukan bot kawalan jauh (RC) sebaris dengan acara lain di Malaysia serta menjadi produk sukan air bagi program pelancongan Negeri Selangor,” katanya menerusi kenyataan.

Sebanyak tujuh kategori mengikut kelas badan (Hull) dan enjin iaitu (Kelas A) Catamaran Hull 44cc ke atas, (Kelas D) Mono Vee Hull 43cc-35cc dan (Kelas E) Mono Vee Hull 26cc-28cc.

Selain itu, kategori Kelas F bagi jenis Catamaran Hull 26cc, (Kelas G) Mono Vee Hull 29cc-32cc, (Kelas H) Catamaran Hull 29cc-32cc serta kategori ‘Best Of The Best’.

Tambahnya, kejohanan dianjur sejak 2009 itu akan menjadi acara tahunan dalam kalendar MBPJ dan Tourism Selangor dengan jalinan kerjasama pintar (smart partnership) bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, persatuan-persatuan RC dan Akademi MAS.


Pengarang :