Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri ditemui pada Perhimpunan Khas Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh pada 25 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lelaki kasari pemandu wanita dikesan, dibawa ke IPD bantu siasatan

IPOH, 6 JUN: Lelaki yang bertindak mengasari pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah yang videonya tular di media sosial berjaya dikesan polis di sekitar Serdang, Selangor hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata lelaki berusia 29 tahun bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di Serdang itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323/506/501 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan polis pada jam 10 pagi tadi daripada seorang wanita berusia 24 tahun yang dibuat di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh di Selangor mengenai insiden itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 5.33 petang semalam semasa pengadu dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya yang berumur 17 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kejadian dikatakan berlaku akibat salah faham di jalan raya sekitar pusat peranginan Lata Iskandar dan apabila kedua-dua kereta itu berhenti, penyelia kilang itu turun dari kenderaannya dan mengetuk cermin kereta pengadu.

Mohd Yusri berkata apabila pengadu membuka cermin keretanya, lelaki itu memarahi pengadu dan tiba-tiba memukul kepala pengadu serta mengeluarkan kata-kata ugutan.

Beliau berkata hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kereta yang dinaiki lelaki itu didaftarkan atas nama seorang wanita yang beralamat di Tanjung Karang, Selangor.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 59 saat yang memaparkan seorang lelaki keluar daripada kereta dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandu wanita serta memukul kepalanya.

– BERNAMA


Pengarang :