Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lelaki mengamuk, baling makanan, minuman di restoran ditahan

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas tular videonya mengamuk serta membaling bungkusan makanan dan minuman di sebuah restoran di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata lelaki berusia 50 tahun ditahan 1 pagi tadi di Jalan Samudera Utara 2, Taman Samudera, Batu Caves, Selangor.

Beliau berkata penahanan lelaki itu berikutan satu laporan polis yang dibuat seorang wanita pada Selasa lalu setelah mendapati insiden suspek mengamuk tular di media sosial.

“Dalam video berkenaan, kira-kira 9 pagi, semasa pengadu bersama pekerja sedang melayan pelanggan di sebuah restoran, seorang lelaki iaitu suspek secara tiba-tiba bertindak agresif.

“Lelaki itu menjerit dan membaling bungkusan makanan serta air minuman panas ke dalam kedai dan terkena anak pengadu yang berumur empat tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata hasil siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja itu mempunyai lima rekod berkaitan jenayah.

Suspek kini direman sehingga 14 Jun depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506/352 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan menggunakan kekerasan jenayah.

– BERNAMA


Pengarang :