Pemain Sri Pahang FC Muhamad Baqiuddin Shamsudin (kanan) diasak pemain Kelantan FC Mohd Arip Amiruddin (tengah) dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada 23 Jun 2023. Foto Bernama
AGENDASUKANKINI

Liga Super: Sri Pahang lonjak tangga ketiga, PDRM menang ke atas Perak

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Sri Pahang FC berjaya memintas Kedah Darul Aman FC untuk melonjak ke tangga ketiga Liga Super selepas membelasah pasukan tercorot, Kelantan FC, 5-0, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Tonggak pertahanan Mohamad Fadhli Mohd Shas dan penyerang import, Kpah Sherman mencuri tumpuan apabila masing-masing menyumbat dua gol bagi membantu skuad kendalian Fandi Ahmad merakam kemenangan kedua berturut-turut selepas menumpaskan Negeri Sembilan FC, 4-3, 9 Jun lalu.

Pelawat yang jelas mendominasi perlawanan tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila ketua pasukan Sergio Aguero melepaskan rembatan kaki kanannya untuk gol pertama pada minit ketujuh.

Sri Pahang terus “mengganas” sebaik babak kedua bersambung apabila menambah empat gol bermula daripada tandukan Mohamad Fadhli pada minit ke-48 diikuti jaringan Sherman yang menanduk masuk sepakan percuma Aguero pada minit ke-58.

Tandukan Mohamad Fadhli sekali lagi menggegar jaring hasil daripada sepakan sudut Aguero selang tiga minit kemudian untuk gol keempat mereka dan Sherman menoktahkan kemenangan besar Sri Pahang dengan melepaskan rembatan leret kaki kanannya pada minit ke-86.

Keputusan itu menyaksikan Sri Pahang yang mengumpul 31 mata naik satu anak tangga bagi memintas Kedah, yang bermain kurang satu perlawanan dan turun di tangga keempat dengan 28 mata manakala Kelantan yang merekodkan kekalahan ke-12 liga kekal di tangga terbawah dengan empat mata.

Sementara itu, kontroversi melanda PDRM FC susulan ketiadaan jurulatihnya, Azzmi Aziz yang direhatkan buat sementara waktu baru-baru ini, jelas tidak mematahkan semangat “The Cops” untuk mencatat kemenangan keempat berturut-turut dengan menang tipis ke atas Perak FC, 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada separuh masa pertama, penyerang import, Uche Agba memecah kebuntuan untuk mengejutkan tuan rumah menerusi sepakan leret dari sebelah kiri yang menerjah jaring pada minit ke-50 dan giliran penyerang tempatan, Nabil Ahmad Latpi pula meledak gol kedua PDRM lima minit kemudian.

Tersentak dengan kedudukan tersebut, Perak yang dibimbing Yusri Che Lah cuba untuk bangkit namun hanya berjaya mendapat gol sagu hati menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan pelawat, James Okwuosa pada minit ke-73 dan keputusan 2-1 kekal sehingga masa penamat.

Kemenangan dilakar PDRM membolehkan mereka berada di tangga ketujuh dengan 22 mata manakala Perak pula kekal di tangga ke-11 dengan sembilan mata.

– BERNAMA


Pengarang :