BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lima filem hebat bertema Islam, rangkul anugerah antarabangsa

Aidiladha tiba tidak lama lagi. Ramai dalam kalangan umat Islam kini berada di tanah suci Makkah untuk menunaikan kewajipan rukun dengan penuh rendah diri mengenang kekuasaan yang maha esa.

Bulan Zulhijjah juga menjadi saksi kita mengenang peristiwa korban Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail serta bagaimana peristiwa penting itu diterjemahkan dalam falsafah ibadah penuh kesucian.

Pada waktu ini, elok juga jika kita menonton filem-filem dengan pengaruh dan falsafah Islam yang merungkai perdebatan soal kefahaman beragama dan ranjau kehidupan.

Sempena Aidiladha, saya menyenaraikan lima filem falsafah Islam yang banyak memenangi anugerah festival filem antarabangsa untuk ditonton pada masa cuti.

Boy from Heaven (2022) filem bahasa Arab yang menampilkan kisah di institusi pendidikan ulung Islam, Universiti al-Azhar di Mesir.

Ia diarah Tarik Saleh, pembikin filem Sweden yang mengarahkan The Nile Hilton Incident (2017) yang meraih perhatian di Festival Filem Sundance.

Boy from Heaven memaparkan watak Adam lakonan Tawfeek Barhom sebagai anak nelayan. Dia menerima biasiswa kerajaan menyambung pengajian ke Universiti al-Azhar. Melalui watak Adam, kita mengetahui suasana kehidupan di institusi berprestij itu.

Suasana berubah apabila Imam Besar al-Azhar meninggal dunia mengejut akibat serangan jantung. Natijahnya berlaku pergelutan merebut jawatan berkenaan dalam kalangan imam universiti itu. Karya berkenaan unik kerana memaparkan persaingan politik yang jarang disentuh.

Filem itu mencatatkan kejayaan di beberapa festival antarabangsa termasuk menang Lakon Layar Terbaik dan dicalonkan Palme d’Or dalam Festival Filem Cannes ke-75 tahun lalu.

Pelampau agama

Timbuktu (2014) arahan pengarah Mauritania, Abderrahmane Sissako menampilkan kehidupan di Timbuktu, Mali. Bandar yang dikuasai pelampau Islam, memperkenal tafsiran undangundang syariah ketat, yang bertentangan ajaran tokoh Islam setempat.

Naskhah itu kemudian menyorot konflik kes pembunuhan lantaran perselisihan pendapat antara penduduknya. Naskhah berkenaan meneliti permasalahan pelampau agama.

Abderrahmane nama tidak asing dalam sinema antarabangsa. Filemnya sebelum Timbuktu seperti La Vie Sur Terre (1998) dan Waiting for Happiness (2002) meraih perhatian dalam pelbagai festival.

Timbuktu meraih pencalonan di Anugerah Akademi dalam kategori Filem Asing Terbaik dan pencalonan Palme d’Or Festival Filem Cannes.

You Will Die at Twenty (2019) diarah Amjad Abu Alala, pembikin filem Sudan. Mengisahkan Muzamil lakonan Mustafa Shehata (remaja) dan Moatasem Rashed (kanak-kanak) diramal seorang agamawan bakal meninggal dunia apabila umurnya 20 tahun. Bergerak sebagai karya coming of age ia sarat eleman sufisme.

Ibu Muzamil, Sakina lakonan Islam Mubarak juga mengenakan pakaian hitam sepanjang hari sebagai tanda berkabung di atas ramalan berkenaan.

Sikap Muzamil terhadap kefahamannya mengenai falsafah kewujudan mula menimbulkan perbincangan apabila beliau bertemu dengan seorang lelaki cinephile.

Filem ini mendapat perhatian antarabangsa apabila menerima anugerah Luigi De Laurentiis semasa Festival Filem Venice. Ia turut ditayang di Festival Filem Antarabangsa Toronto serta Festival Filem Antarabangsa Rotterdam.

Malcolm X (1992) biopik arahan Spike Lee mengisahkan perjalanan hidup tokoh penting Amerika Syarikat, Malcolm X.

Dilakonkan Denzel Washington, ia memaparkan kehidupan Malcolm sebagai penjenayah, memeluk Islam, penglibatan dalam Nation of Islam, perjalanan haji dan pembunuhannya.

Dianggap pengkritik antara biopik terhebat pernah dihasilkan. Lakonan Denzel dalam filem ini juga antara yang terbaik dalam kerjayanya.

Theeb (2014) arahan Naji Abu Nowar mengambil latar belakang Revolusi Arab yang menyaksikan penentangan terhadap Empayar Uthmaniah sewaktu Perang Dunia Pertama antara 1916 hingga 1918.

Karya ini melihat daripada kaca mata seorang kanak-kanak Badwi bernama Theeb (lakonan Jacir Eid Al-Hwietat). Dia hidup di tengah-tengah gelora padang pasir pelbagai konflik peribadi dan politik waktu itu.

Menerima pencalonan Anugerah Akademi untuk Filem Bahasa Asing Terbaik, Naji turut
menang kategori Pengarah Terbaik semasa Festival Filem Antarabangsa Venice.


Pengarang :