Rumah Selangorku di Taman Alam Suria, Jeram, Kuala Selangor pada 10 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LPHS sasar keluar 7,000 surat tawaran Rumah Selangorku hingga akhir tahun

SHAH ALAM, 22 JUN: Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) menyasarkan sebanyak 7,000 surat tawaran Rumah Selangorku dikeluarkan kepada pemohon sehingga akhir tahun.

Lebih 3,000 surat tawaran dikeluarkan setakat ini, penolong pengarah kanannya berkata tawaran tersedia berdasarkan 41 projek pembinaan rumah mampu milik yang berdaftar dan aktif seluruh negeri.

Mohd Faizal Abd Kadir menjelaskan sistem permohonan Hartanah Negeri Selangor menjana kelayakan pemohon membeli rumah berharga antara RM100,000 hingga RM250,000 secara automatik mengikut merit.

“Biasanya rakyat Selangor atau individu yang sudah berkahwin diberi keutamaan dengan senarai nama dikeluarkan mengikut markah tertinggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mendedahkan kes penolakan tawaran rumah jenis bangunan tinggi (high rise) sekitar 50 peratus, beliau berkata ia berpunca kegagalan pemohon memperoleh pembiayaan, salah memilih lokasi selain kurang berminat dan ada pilihan lain.

Berbanding rumah jenis ‘landed’, Mohd Faizal memaklumkan isu penolakan tawaran rendah iaitu kira-kira 30 peratus berikutan pemohon tiada pilihan lain dan enggan mensia-siakan peluang.

“Rumah jenis ‘high rise’ pemohon ada pilihan memandangkan pembinaan rumah jenis ini di Lembah Klang sangat banyak. Sekiranya mereka tidak beli hari ini, mereka masih boleh tunggu lagi.

“Kalau rumah ‘landed’ mereka tiada pilihan dan rugi lepaskan peluang jika mendapat tawaran. Jadi pemohon akan terima juga tawaran malah berusaha mendapatkan pinjaman,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pemohon yang menolak tawaran akan dibekukan pendaftaran selama dua tahun sehingga tempoh pendaftaran terdahulu tamat.

Menjelang 2025, Kerajaan Negeri menyasar pembinaan 60,000 unit kediaman menerusi Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0.

Penambahan dibuat susulan pembangunan rumah mampu milik mencapai sasaran awal 30,000 unit pada 2023.

 


Pengarang :