Kakitangan Lembaga Urus Air selangor (LUAS) melaksanakan program simulasi tumpahan minyak di Kolam Hang Tuah, Bestari Jaya. Foto Facebook LUAS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LUAS laksana simulasi tumpahan minyak, tingkat kecekapan kakitangan

SHAH ALAM, 26 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melaksanakan program simulasi tumpahan minyak bagi melatih kecekapan kakitangannya mengendali situasi genting pencemaran sumber air.

Agensi itu memaklumkan simulasi membabitkan beberapa modul termasuk latihan amali yang diadakan di Kolam Hang Tuah, Bestari Jaya.

“Antara modul disediakan termasuk taklimat berkaitan operasi kawalan tumpahan minyak dan peralatan digunakan untuk mengatasi serta mengawalnya, langkah perlu diambil ketika insiden pencemaran, jenis pencemaran sumber air dan punca ia berlaku.

Program simulasi tumpahan minyak di Kolam Hang Tuah, Bestari Jaya. Foto Facebook LUAS

“Sesi ini dapat mempertingkat pengetahuan peserta terhadap kaedah dan teknik bersesuaian ketika menghadapi insiden pencemaran tumpahan minyak,” maklumnya di Facebook.

Menurut LUAS, program itu sekali gus membantu meningkatkan pemahaman peserta bagi mengenal pasti punca pencemaran yang sering terjadi serta cara mengatasinya.

“Latihan ini dikendalikan sendiri oleh kakitangan LUAS dari Unit Kawalan Badan Air (KBA) membabitkan 25 peserta,” katanya.

Sebelum ini agensi itu memaklumkan pihaknya mengambil sampel setiap hari di kawasan hulu dan hilir sungai bagi memastikan sumber air tidak berisiko dan tercemar.

Agensi itu turut melakukan rondaan dan pemantauan di lembangan-lembangan utama sungai negeri iaitu Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Klang.


Pengarang :