Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negera pada 24 November 2022 susulan situasi Parlimen tergantung selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Foto Facebook Istana Negara
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Majlis Raja-Raja miliki kuasa unggul, angkat kepentingan Melayu

Majlis Raja-Raja unik kerana ia satu-satunya institusi sedemikian di dunia pada masa ini.

Ditubuhkan pada 1948, majlis berkenaan menggantikan Mesyuarat Raja-Raja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang turut dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu (Durbar).

Semua sembilan Raja Melayu hadir dalam mesyuarat pertama yang berlangsung pada 18 Februari 1948 di Johor Bahru dan dipengerusikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Abu Bakar.

Dari tahun berkenaan hingga 1957, lebih 50 mesyuarat diadakan berkaitan isu kebajikan orang Melayu dan kepentingan Tanah Melayu, lebih-lebih lagi negara ketika itu di ambang merdeka.

Ketetapan mesyuarat tersebut dalam tempoh itu antara lain menubuhkan Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Majlis Raja-Raja dan mengehad kemasukan buruh dari China dan India.

Selain itu, bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi meski bukan bahasa kebangsaan selain pemilihan bendera, penentuan jata dan cogan kata sebagai lambang Persekutuan Tanah Melayu.

Majlis Raja-Raja juga terlibat meneliti syarat dan butiran Perlembagaan Persekutuan.

Setakat Februari, Majlis Raja-Raja telah bersidang 261 kali. Mesyuarat terakhir dipengerusikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Negara.

Lazimnya, majlis tersebut bersidang tiga kali setahun tetapi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja boleh memanggil anggota majlis apabila dikehendaki Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat juga boleh dipanggil sebelum tamat tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong atau berlaku kekosongan jawatan berkenaan atau timbalannya.

Sekalipun semua Raja dan Yang di-Pertua Negeri menganggotai majlis itu secara automatik, Yang di-Pertua Negeri tidak terlibat dalam pemilihan, pelucutan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan perbincangan keistimewaan Raja-Raja.

Penubuhannya dikanunkan bawah Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Selain memilih Yang di-Pertuan Agong, peranannya termasuklah berkaitan isu agama Islam, pindaan perundangan, pengampunan hukuman dan pelantikan anggota Mahkamah Khas.

Majlis Raja-Raja juga melantik wakil untuk menganggotai Majlis Angkatan Tentera, dan wakil Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majlis tersebut turut memiliki kuasa unggul dalam beberapa aspek berikutan sesetengah peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda tanpa persetujuannya terlebih dahulu.

Perkara itu meliputi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta hak kaum lain, kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi serta pindaan sempadan negeri.

Pindaan sempadan dibuat empat kali iaitu penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1973, Putrajaya (1994), Wilayah Persekutuan Labuan (1984) dan penyelesaian isu sempadan Kedah – Pulau Pinang (1985).

Terbaharu, Majlis Raja-Raja memainkan peranan penting dalam melerai kekusutan politik tanah air, bermula episod perpecahan gabungan kerajaan pada 2020 hingga situasi parlimen tergantung selepas pilihan raya umum 2022.

Atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja, kemelut politik sepanjang tiga tahun itu dapat dirungkai dengan berhemah dan saksama bagi perpaduan negara.


Pengarang :