EXCO pengangkutan Awam Ng Sze Han bersama Ketua Pegawai Eksekutif Badan Bas Coach Sdn Bhd Ibrahim Aiman Mohd Nadzmi bergambar di hadapan van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Maklum balas positif, khidmat van transit diperluas lokasi penduduk padat

SHAH ALAM, 21 JUN: Kerajaan Negeri akan memperluas perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) terutama di kawasan penduduk padat susulan maklum balas positif orang ramai.

EXCO pengangkutan awam berkata DRT adalah mod pengangkutan yang fleksibel dan mempunyai kebolehcapaian tinggi dalam kalangan pengguna terutama di laluan sempit yang tidak boleh dilalui Bas Smart Selangor.

“Insiatif di bawah Selangor Mobiliti ini diharap meningkatkan kebolehcapaian pengguna untuk menggunakan pengangkutan awam.

“Selepas ini. perkhidmatan DRT akan diperluas ke kawasan lain bagi memastikan lebih ramai penduduk menerima memanfaat,” kata Ng Sze Han ketika ditemui selepas mencuba perkhidmatan DRT Mobi di stesen perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) SS15, di sini, hari ini.

Beliau berkata di bawah inisiatif Selangor Mobiliti, dua syarikat dipilih sebagai penyedia perkhidmatan untuk melaksanakan projek perintis DRT.

“Jadi kita mula dulu dengan dua syarikat ini dan diharap lebih banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan seumpama ini tampil menyediakan khidmat mereka,” katanya.

Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

DRT Mobi adalah mod pengangkutan awam disediakan syarikat Badanbas Coach Sdn Bhd membabitkan 265 lokasi sekitar Subang Jaya setakat ini.

Pengguna boleh menempah perkhidmatan DRT menerusi aplikasi Mobi dengan bayaran kadar tetap RM4 satu perjalanan atau pelan langganan tiket bulanan serendah RM3.63 satu perjalanan ke hentian terdekat mereka.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3 juta untuk pelaksanaan Selangor Mobiliti Fasa Pertama, merangkumi perkhidmatan van DRT berdasarkan permintaan menerusi aplikasi penghalaan pintar.

Pada 15 Jun, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Selangor Mobiliti bakal diperluas ke lapan zon menjelang September, dengan menumpukan kawasan padat selain permintaan terhadap laluan sempit.

Tidak hanya menumpukan mod pengangkutan, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif tersebut turut melibatkan infrastruktur lain seperti hentian bas, mikromobiliti dan e-skuter.

EXCO pengangkutan Awam Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Badan Bas Coach Sdn Bhd Ibrahim Aiman Mohd Nadzmi aplikasi mobi bagi van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :