Petugas kesihatan mengambil sampel darah pengunjung program Selangor Saring sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Manfaatkan 25,000 peserta, saringan kesihatan percuma terus ditambah baik

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 8 JUN: Program saringan kesihatan percuma yang dilaksana pentadbiran negeri akan terus ditambah baik untuk manfaat rakyat negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Memasuki fasa kedua bulan lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif Selangor Saring fasa pertama merekodkan hampir 25,000 penyertaan sejak dilancarkan.

Beliau memaklumkan saringan yang ditawar meliputi penyakit jantung, kencing manis, barah, glaukoma, pemeriksaan mata, gigi dan telinga serta fisioterapi.

“Insya-Allah Selangor Saring fasa kedua akan terus ditambah baik untuk manfaat rakyat Selangor.
Sama-sama kita memastikan kesihatan diri yang lebih baik,” katanya di Facebook hari ini.

Amirudin menambah proses pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Sebelum ini, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud mengumumkan Selangor Saring diadakan di sembilan lokasi bermula di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Paya Jaras pada 21 Mei.

Inisiatif itu akan bersambung di Dewan Sungai Gulang-Gulang, Permatang pada 27 Mei dan seterusnya di Pejabat Ahli Dewan Negeri Hulu Bernam pada 28 Mei mulai 9 pagi hingga 3 petang.

Program turut diadakan di Dewan Seri Siantan, Sungai Tua (3 Jun), Kompleks Penghulu Mukim Hulu Langat, Dusun Tua (4 Jun) dan Dewan Komuniti Taman Sri Sungai Pelek (10 Jun).

Ia diteruskan pada 11 Jun di Dewan Taman Banting Baru, Morib selain di Dewan Undangan Meru dan Sungai Kandis, masing-masing dijadual pada 17 dan 18 Jun.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi melaksanakan program Selangor Saring, yang menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :