Oleh Nas Norziela Nasbah
PETALING JAYA 10 JUN: Masjid Al Islamiah Kampung Lindungan di sini menerima sumbangan permaidani untuk kegunaan muslimah serta bilik seminar.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata empat gulung permaidani dengan keluasan 2,900 meter persegi disumbangkan bagi memberi keselesaan kepada muslimah yang menunaikan ibadah di masjid itu selain kegunaan bilik seminar.
“Alhamdulillah dapat melaksanakan permohonan daripada Nazir Masjid Al Islamiah Kampung Lindungan Ustaz Hakimin Husain yang memohon permaidani untuk ruangan tambahan masjid bagi kegunaan muslimah dan bilik seminar.
“Semoga sumbangan permaidani ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin selain ia dapat digunakan ‘dua dalam satu’ bagi kegunaan solat dan juga untuk majlis pernikahan atau aktiviti lain,” katanya ketika dihubungi.