Mayat kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Bernam ditemukan pada 6 Jun 2023 dengan jarak 7.3 kilometer dari lokasi kejadian. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Mayat kanak-kanak hilang ditemukan di Sungai Bernam

TANJUNG MALIM, 6 JUN: Mayat kanak-kanak lelaki dipercayai berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Bernam berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Sabtu lalu ditemukan tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata mayat itu ditemukan dalam keadaan terapung oleh seekor anjing pengesan dalam misi mencari dan menyelamat (SAR).

“Pada jam 12.35 tengah hari satu mayat ditemui dengan bantuan anjing pengesan bernama Lady jenis Labrador. Mayat ditemui berpakaian lengkap.

“Hari ini pasukan penyelamat menumpukan teknik carian di permukaan air dan kita menemui mayat dengan jarak kira-kira 7.3 kilometer dari lokasi kejadian, manakala mangsa ditemui tersangkut dekat pokok di dalam air,“ katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya mayat itu dibawa ke Hospital Slim River bagi proses pengecaman oleh waris mangsa.

– BERNAMA


Pengarang :