Peserta inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) menyusun motosikal mereka sempena Festival Belia Selangor 2023 di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 10 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB azam bawa isu kebajikan pekerja p-panggilan ke Parlimen

SHAH ALAM, 10 JUN: Dato’ Menteri Besar berazam untuk membangkitkan isu kebajikan penghantar makanan atau pekerja p-panggilan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kadar upah yang tidak setimpal selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antara perkara yang akan diberi tumpuan.

“Isu pekerja p-panggilan ini ada macam-macam perkara, antara yang sering dibangkitkan isu ‘tip’ atau bayaran tidak sekata. Mungkin hal ini perlu dilihat bagaimana ia boleh dikoordinasi.

Pekerja p-panggilan menerima inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) secara tunai sempena Festival Belia Selangor 2023 di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 10 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

“Begitu juga dengan hal KWSP mereka dan sebagainya,” katanya ditemui pada majlis penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) sempena Festival Belia Selangor di sini hari ini.

Menurut Amirudin, sudah tiba masanya kerajaan memandang serius nasib pekerja p-panggilan berikutan pekerjaan itu kini menjadi pilihan ramai golongan belia.

“Mereka ini menyampaikan keperluan masyarakat dan kita pernah bergantung kepada mereka ketika pandemik. Penghargaan seharusnya diberikan kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, seramai 3,000 penghantar makanan yang berdaftar bawah RiDE menerima wang tunai RM500 dan caruman KWSP bernilai RM50.

Program yang dilaksanakan sejak 2020 turut memberi pelbagai manfaat lain seperti caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).


Pengarang :