Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK-12 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 1 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB cadang tambah baik sistem perjawatan demi perkasa integriti PBT

SHAH ALAM, 20 JUN: Sistem perjawatan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu ditambah baik ke arah pemerkasaan integriti dan amalan tatakelola cemerlang badan itu, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagi mencapai hasrat itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berpendapat Suruhanjaya Perkhidmatan PBT perlu diwujudkan untuk mengelakkan seseorang pegawai berkhidmat terlalu lama di satu-satu tempat.

Beliau menjelaskan cadangan sistem tersebut sudah dibawa ke kementerian berkaitan bagi memastikan perkara itu dilaksana segera di peringkat persekutuan dan diikuti negeri-negeri lain.

“Kita kena tubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan PBT supaya pengarahnya dilantik daripada situ. Kena tengok formatnya dahulu supaya mereka boleh ada giliran dan sebagainya.

“Ini mungkin salah satu cara untuk menangani (seseorang berkhidmat terlalu lama). Ia berlaku di banyak tempat, agak berleluasa. Kalau (tidak berlaku pun) persepsinya sudah ada,” katanya.

Bercakap dalam sesi sembang malam di TikTok SelangorTV malam tadi, Amirudin berkata PBT mengamalkan sistem tanpa penggiliran (close appointment) ketika ini, terutama lantikan pengarah.

Beliau berkata kaedah itu menyebabkan seseorang cenderung memegang jawatan sama untuk tempoh panjang, berbeza dengan lantikan yang dipertua dan timbalan, yang biasanya hanya lima tahun.

“Yang dipertua dan timbalan berlaku penggiliran, mereka tidak lama (biasanya) lima tahun. Tetapi jawatan pengarah dilantik PBT sendiri, jadi mereka tidak boleh dipindahkan, duduk berpuluh tahun.

“(Untuk atasi perkara ini) buat suruhanjaya. Kalau Putrajaya tidak mahu buat, negeri akan buat. Paling tidak, buat penggiliran pegawai supaya tidak berakar umbi,” katanya.


Pengarang :