Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menandatangani proklamasi pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13 dalam majlis istiadat pengisytiharaan pembubaran DNS di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB doakan Sultan Selangor, Permaisuri dianugerah haji mabrur

SHAH ALAM, 19 JUN: Dato’ Menteri Besar mendoakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor dianugerahkan haji mabrur.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mendoakan ibadah haji Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin yang dijadual bermula esok hingga 4 Julai, dipermudahkan segala urusan.

“Patik mewakili sekalian rakyat Selangor mendoakan agar DYMM Tuanku dianugerahkan haji yang mabrur dan dipermudahkan segala urusan.

“Semoga Allah SWT terus menganugerahkan Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Norashikin keafiatan, keberkatan dan kesejahteraan,” ucapnya pada sidang media khas sempena lima tahun pentadbiran Dato’ Menteri Besar di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Sultan Selangor pada istiadat pengisytiharan pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini memaklumkan Baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor berangkat menunaikan ibadah haji bermula esok hingga 4 Julai.

Berikutan itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berharap semua Ahli Dewan Diraja mendoakan urusan Baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor dipermudah dan mendapat haji mabrur.

Baginda turut memaklumkan keberangkatan ke London pada 28 Julai untuk menjalani rawatan dan pembedahan penyakit berkaitan prostat (Holmium Laser Enucleation of the Prostate).


Pengarang :