Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan ziarah korban DUN Sungai Tua di Kampung Sungai Tua Baharu, Gombak pada 29 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB hadiri 12 lokasi ziarah korban, turut sembelih seekor lembu

Oleh AZIAN AZIZ

BATU CAVES, 29 Jun: Dato’ Menteri Besar menyertai 75 kariah Masjid Jamiatus Solahiah Kampung Sungai Tua Baharu menyembelih lembu dalam program ziarah korban Aidiladha di sini, hari ini.

Sebelum itu Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga penyandang Ahli Dewan Negeri DUN Sungai Tua menunggang motosikal sambil dibonceng isteri Datin Seri Masdiana Muhamad tiba di lokasi sembelihan iaitu di Padang Changi Kampung Sungai Tua Baharu pada jam 9.30 pagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan ziarah korban DUN Sungai Tua di Kampung Bendahara, Gombak pada 29 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau meluangkan masa beramah mesra dengan 250 penduduk sebelum menyembelih seekor daripada 15 ekor lembu korban.

Kira-kira 20 minit kemudian Amirudin beredar ke lokasi ziarah korban seterusnya.

Beliau menghadiri 12 lokasi ziarah korban di sekitar DUN Sungai Tua dengan Padang Changi merupakan lokasi pertama.

Terdahulu beliau menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 800 jemaah di Masjid Jamek Kampung Nakhoda, Batu Caves.

Sementara itu, Timbalan Nazir Masjid Jamiatus Solahiah Mohd Razid Suli berkata selain 15 ekor lembu turut dikorbankan lima ekor kambing.

“Seekor lembu merupakan sumbangan Kerajaan Negeri. Daging lembu itu diagihkan kepada 91 asnaf di kawasan ini,” katanya.

Timbalan Nazir Masjid Jamiatus Solahiah Kampung Sungai Kertas Mohd Razid Suli pada ziarah korban DUN Sungai Tua di Kampung Sungai Tua Baharu, Gombak pada 29 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mohd Razid berkata program hari ini melibatkan kariah masjid, penduduk dan keluarga dari Kampung Sungai Tua Baharu, Kampung Mahkota dan Kampung Sungai Tua Tanah Gantian.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban tahun ini dan peruntukan tersebut bertambah berbanding tahun lalu berikutan peningkatan harga lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000 seekor.

Pertambahan jumlah lembu korban daripada 660 kepada 700 dan jumlah kambing kekal 1,000 ekor. Menerusi sumbangan itu, setiap 56 Ahli Dewan Negeri menerima empat ekor lembu dan 10 ekor kambing.


Pengarang :