Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melapah daging korban sambil beramah mesra bersama sukarelawan ketika di MPKK Kampung Baru Batu Caves, Gombak pada 29 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Orang ramai diingat asingkan diri jika bergejala, elak wabak tular

Oleh DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 30 JUN: Orang ramai diingatkan supaya lebih peka dengan kesihatan diri bagi memastikan wabak Covid-19 tidak menular sepanjang pelaksanaan ibadah korban ketika Aidiladha.

Dato’ Menteri Besar berkata mereka yang bergejala perlu membuat ujian kendiri, sekiranya positif perlu mengasingkan diri dan tidak menyertai program korban agar tidak menjangkiti orang lain.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui media selepas melapah lembu korban di MPKK Kampung Baru Batu Caves Gombak pada 29 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI.

“Proses disiplin ini perlu diterapkan dalam minda, difahami dan dipatuhi semua orang. Bila tidak sihat dan ada simptom buat ujian kendiri, dan apabila positif asingkan diri.

“Ini penting supaya tidak berlaku perebakan baharu (Covid-19) atau cipta varian baharu akibat mutasi bila turut serta dalam program ibadah korban sepanjang Aidiladha ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu, Ahli Parlimen Gombak menghadiri program Ziarah Korban Aidiladha di Kampung Baru Batu Caves di sini, semalam.

Amirudin tiba di lokasi penyembelihan dengan menaiki skuter bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad pada 11.50 pagi.

Penyandang kerusi DUN Sungai Tua turut serta membantu petugas penyembelihan melapah lembu korban selain beramah mesra dengan penduduk setempat.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di dalam pengangkutan awam dan hospital, mulai Rabu ini.

Sementara individu positif Covid-19 pula dikehendaki (tidak diwajibkan) memakai pelitup muka, ketika berada di klinik atau hospital dan di dalam pengangkutan awam.

Selain itu, katanya, arahan tempoh pengasingan kes Covid-19 dipendekkan dari tujuh kepada lima hari dari onset gejala pertama, berkuat kuasa mulai Rabu depan.

Media sebelum ini melaporkan kes baharu Covid-19 menurun 53.5 peratus manakala kematian berkurang 35.3 peratus sejak lima minggu kebelakangan ini.


Pengarang :