Pelajar teknologi automotif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa keseluruhan kereta yang ditenggelami air banjir termasuk pendawaian secara teliti. FOTO FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB pelawa anak Selangor ikuti program TVET berdampak tinggi di STDC

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 20 JUN: Anak Selangor berusia antara 16 hingga 30 tahun dipelawa mengikuti lapan program kemahiran dan vokasional (TVET) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan tawaran juga terbuka kepada individu dalam lingkungan usia sama, yang bermastautin lebih 11 tahun di negeri ini.

Selain program berkualiti dan berdampak tinggi, beliau menjelaskan peserta juga akan menerima manfaat yuran pendaftaran, latihan dan asrama, yang ditaja pentadbiran negeri.

“Melalui pengambilan khas sesi Jun ini, negeri menawarkan pembiayaan menerusi Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor untuk TVET berkemahiran tinggi,” katanya di Facebook.

Program ditawarkan STDC meliputi teknologi automotif, semburan cat, teknologi motosikal dan elektrik, penyaman udara, fesyen, terapi spa, kulinari, pastri dan teknologi sistem komputer.

Orang ramai yang berminat boleh memohon menerusi pautan https://stdc.edu.my.

Pada 10 Jun, Amirudin mengumumkan Selangor menerusi STDC bakal memperluas kerjasama dengan sekolah menengah bagi meningkatkan kemahiran TVET dalam kalangan pelajar.

STDC, yang dijenamakan daripada Kolej Antarabangsa Inpens pada Ogos 2020 menawarkan pelbagai latihan kemahiran berkualiti untuk mempersiapkan masyarakat ke arah revolusi industri 4.0.


Pengarang :