Pemuda Perpaduan Ampang bergotong-royong melapah daging korban pada Majlis Qurban Perpaduan Pemuda Ampang di Dewan Taman Mulia Jaya, Ampang Jaya pada 30 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB puji penglibatan belia, banyak sumbang tenaga jayakan ibadat korban

AMPANG JAYA, 30 JUN: Dato’ Menteri Besar memuji penglibatan belia Selangor yang dilihat amat proaktif dalam program ibadah korban sempena Aidiladha.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau melihat golongan itu banyak menyumbang tenaga bergotong-royong bersama komuniti sekali gus memberi isyarat positif kepada negara.

“Ini memberi makna yang sangat besar kepada kita terutamanya dalam program pembangunan generasi muda di Selangor dan Malaysia, khasnya.

“Ini juga memberi maksud anak-anak muda kita disediakan dasar yang baik, selain agensi seperti Majlis Belia Selangor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke arah membantu komuniti dan masyarakat,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membantu petugas korban memasak kari kambing pada Majlis Qurban Perpaduan Pemuda Ampang di Dewan Taman Mulia Jaya, Ampang Jaya pada 30 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Amirudin meluangkan masa kira-kira 30 minit membantu aktiviti memasak serta agihan daging di Majlis Korban Perpaduan di Taman Mulia Jaya di sini, hari ini.

Sebanyak dua ekor lembu dan dua ekor kambing disembelih dalam program julung kali membabitkan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Ampang dan Pemuda Umno Bahagian Ampang.

Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 11 berkata dua lembu korban sumbangan Kerajaan Negeri diagihkan kepada 8,000 penduduk.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama pemuda perpaduan Ampang pada Majlis Qurban Perpaduan Pemuda Ampang di Dewan Taman Mulia Jaya, Ampang Jaya pada 30 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban tahun ini dan peruntukan tersebut bertambah berbanding tahun lalu berikutan peningkatan harga lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000 seekor.

Pertambahan jumlah lembu korban daripada 660 kepada 700 ekor dan jumlah kambing kekal 1,000 ekor. Menerusi sumbangan itu, setiap 56 Ahli Dewan Negeri menerima empat lembu dan 10 kambing.


Pengarang :