Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama 4,000 orang sukarelawan dalam program “Pesta Kita Team Selangor 2023” di MAEPS Serdang pada 18 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB rakam penghargaan kepada Team Selangor, gigih bantu rakyat ketika susah

SERDANG, 19 JUN: Dato’ Menteri Besar merakamkan penghargaan buat seluruh Sukarelawan Team Selangor atas usaha gigih menghulurkan bantuan kepada rakyat negeri ketika dilanda musibah.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga bangga kumpulan sukarelawan berkenaan bergerak aktif melaksanakan pelbagai program dan khidmat masyarakat.

“Pasukan sukarelawan inilah menjadi penyokong kepada rakyat ketika susah dan memerlukan bantuan.

“Saudara-saudari telah membuktikan kemampuan negeri kita menjadi berdaya tahan melalui khidmat dan sumbang bakti yang telah dicurahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pesta Kita Team Selangor 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini semalam.

Amirudin turut memaklumkan ahli sukarelawan dari Team Selangor memainkan peranan penting dalam membina kemakmuran rakyat serta membantu Kerajaan Negeri menghadapi situasi yang mencabar.

“Saya percaya bahawa untuk maju ke hadapan supaya negeri lebih mantap, kita perlukan semua rakyat berganding bahu.

“Betul kita ada ketua kampung, pemimpin akar umbi dan Ahli Dewan Negeri tetapi kita juga perlukan sukarelawan menyumbang membantu Selangor berhadapan pelbagai situasi yang mencabar,” katanya.


Pengarang :