Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program Karnival Jom Heboh 2023 Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival Stadium Shah Alam pada 4 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB sertai Karnival Jom Heboh, sebar inisiatif negeri kepada hadirin

SHAH ALAM, 4 JUN: Dato’ Menteri Besar hadir merasmikan penutup Karnival Jom Heboh yang berlangsung di dataran karnival Stadium Shah Alam malam ini.

Karnival julung kali disertai Kerajaan Negeri untuk mendekati golongan muda itu turut dihadiri EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman, EXCO Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar.

Ketika ditemui, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penganjuran karnival itu bukan sekadar aktiviti hiburan semata-mata tetapi untuk berkongsi maklumat dan program kerajaan.

“Sejak pagi tadi ramai hadir ke kaunter-kaunter kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkenaan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).

“Kita salur maklumat mengenai inisiatif negeri, apa yang negeri lakukan untuk rakyat. Kita dapat kumpulkan orang ramai dengan cara dan kaedah hiburan tetapi sangat terkawal,” katanya.

Selain itu, Dato’ Menteri Besar turut menyampaikan hadiah kepada dua pemenang pertandingan video menarik Jelajah Kita Selangor Aidilfitri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan video menarik Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) pada program Karnival Jom Heboh 2023 Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival Stadium Shah Alam pada 4 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Karnival juga dimeriahkan dengan Konsert Jom Heboh iaitu persembahan artis tempatan Haqiem Rusli, Afieq Shazwan dan Kumpulan OVA.

Kerajaan Selangor buat julung kali menyertai penganjuran Karnival Jom Heboh anjuran Media Prima Berhad.

Kerjasama itu menjadi medan untuk mendekati golongan muda selain dapat mewujudkan masyarakat Madani menerusi penganjuran aktivitinya yang berkonsepkan kekeluargaan serta sukan.

Orang ramai hadir pada program Karnival Jom Heboh 2023 Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival Stadium Shah Alam pada 4 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :