Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau kerja penurapan jalan di Jalan 22/1, Persiaran Jubli Perak, Shah Alam pada 1 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Turapan jalan rosak di sembilan daerah dijangka siap hujung Julai

SHAH ALAM, 2 JUN: Kerja turapan jalan rosak besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer yang bermula semalam dijangka siap sepenuhnya penghujung Julai ini.

Dato’ Menteri Besar berkata Projek Turapan Mega melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

“Projek berskala besar dengan peruntukan RM50 juta ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan jalan raya di seluruh negeri ini berada dalam keadaan baik sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan kemalangan.

“Pemilihan jalan untuk dibaik pulih ini pula adalah berdasarkan kepada aduan tertinggi daripada orang awam yang mereka laporkan menerusi Twitter atau aplikasi penyelenggara jalan negeri iaitu Infrasel Sdn Bhd (Infrasel),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan kerja turapan jalan di Jalan 22/1, Persiaran Jubli Perak, Seksyen 22 di sini malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam Ir Izham Hashim meninjau kerja baik pulih jalan di Jalan 22/1, Persiaran Jubli Perak, Shah Alam pada 1 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mengulas sama ada Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada naik taraf laluan motosikal, Amirudin berkata pihaknya akan meneliti perkara itu namun buat masa ini tumpuan lebih kepada jalan besar terlebih dahulu.

“Lorong motor banyaknya di lebuh raya dan ia sebenarnya diluar kelolaan kita cuma mungkin di Lebuhraya Persekutuan kita akan teliti sekiranya ada lebih (peruntukan) kita akan laksana untuk fasa seterusnya.

“Kita ada lima fasa mungkin di fasa yang hujungnya jika ada lebih kita boleh laksanakan. Secara keseluruhan negeri terima RM500 juta untuk Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) dan kita tumpukan tempat aduan tinggi yang belum dinaik taraf setakat ini,” katanya.

Pada 13 Mei, Amirudin mengumumkan Selangor menerima peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menjayakan projek membaiki jalan kampung seluruh negeri.

Kerajaan Selangor turut mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan kelolaan negeri untuk meningkatkan kemudahan penduduk dan dijalankan secara menyeluruh di Selangor.

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksanakan Infrasel bagi memastikan keselesaan pengguna.


Pengarang :