Orang ramai melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dalam pameran awam di pusat beli-belah SACC, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MBI: Cadangan bangunkan Kompleks Sukan Shah Alam ikut proses telus, rapi

SHAH ALAM, 9 JUN: Cadangan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang bermula sejak 2013 melalui proses amalan terbaik, telus dan rapi bersama pelbagai pihak sebelum dimuktamadkan.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau (MBI) memaklumkan sebanyak 15 syarikat pemaju memberi pelan, namun hanya enam disenarai pendek bagi menyertai permintaan untuk cadangan.

Menurut Jabatan Komunikasi Korporatnya, semua cadangan itu dinilai jururunding profesional dan dibentangkan kepada jawatankuasa penilaian MBI sebelum dibawa ke lembaga pengarah untuk kelulusan.

“Selari dengan etika amalan tadbir urus telus yang dipraktikkan MBI Selangor, projek berimpak tinggi seperti KSSA melalui tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“SOP tersebut menggariskan bahawa proses pemilihan syarikat pemaju adalah yang berkelayakan dan berpengalaman dalam membangunkan projek berskala besar,” katanya dalam kenyataan semalam.

Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jabatan itu menambah proses pemilihan syarikat pemaju kemudian dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu dalam kalangan wakil Kerajaan Negeri dibantu beberapa jawatankuasa kerja.

Jelasnya, cadangan yang diteliti itu seterusnya dirujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dimuktamadkan, dengan keseluruhan proses mengambil tempoh lebih enam bulan.

Lanjutan itu, menurut MBI, pentadbiran negeri mengenal pasti syarikat berpotensi membangunkan KSSA dan surat niat diserahkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 15 Julai 2022.

“MBI juga mengadakan sesi libat urus dan pameran awam selama dua minggu pada akhir Januari lalu untuk memaklumkan pelan pembangunan KSSA kepada warga Selangor serta memberi ruang pandangan.

“Hasilnya, 98.7 peratus daripada maklum balas diterima positif. Ketika ini, projek dalam fasa penelitian reka bentuk dan komponen pembangunan sebelum dimuktamad Julai depan,” katanya.

Projek itu dijangka siap seiring pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 melalui perkongsian awam-swasta dengan Malaysian Resources Corporation Berhad tanpa menggunakan dana awam.

Pembangunan semula dibuat berikutan kos baik pulih dianggar menelan belanja RM787 juta. Antara 2013 hingga 2022, Sebanyak RM56 juta digunakan bagi menyelenggara dan membaiki kerosakan.

Reka bentuk konsep awal yang dibentangkan ketika taklimat perkembangan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di sebuah hotel pada 30 September 2022. Foto BERNAMA

Pengarang :